Bismillah Walhamdulillah Was
Salaatu Was Salaam 'ala Rasulillah.
Sekali peristiwa, diceritakan
bahwa ada seorang sahabat yang bernama Hatib telah mencintai seorang gadis
rupawan yang bergelar Ummi Qais. Sebagai kebiasaannya orang yang bercinta,
Hatib berusaha agar si gadis itu dapat dimilikinya. Dia pun meminang Ummi Qais
sewaktu mereka sama-sama berada di Makkah lagi, akan tetapi, oleh kerana
kemalangan nasibnya, gadis itu telah menolak peminangan Hatib. Kemudian Ummi Qais
pun berhijrahlah pula bersama-sama orang-orang Islam yang berhijrah ke Madinah.
Apabila berita itu sampai ke
pengetahuan Hatib, dia merasa amat berdukacita. Oleh kerana terlalu merindukan
Ummi Qais, Hatib lalu mengambil keputusan untuk berhijrah menjejaki langkah
Ummi Qais ke Madinah, dengan harapan agar dia dapat memikatnya dan memujuknya
semula sewaktu di Madinah nanti.
Jadi nyatalah sudah bahwa
hijrahnya Hatib itu bukanlah semata-mata kerana tujuan asal berhijrah ke sana;
iaitu untuk mencari tempat perlindungan bagi agamanya. Tetapi di sebalik itu,
ada maksud yang lain yang lebih diutamakannya; iaitu moga-moga ia dapat menukar
keputusan Ummi Qais yang lalu dan moga-moga Ummi Qais akan menerimanya pada
kali ini, sebab hatinya
sangat sayang dan mencintai
Ummi Qais.
Cerita hijrahnya Si Hatib
sepenuhnya telah disampaikan kepada pengetahuan Rasulullah s.a.w. Oleh kerana
itulah, maka Hadis ini telah disabdakan, iaitu: "Dan barangsiapa hijrahnya
kerana dunia (sebab-sebab keduniaan) yang ia ingin memperolehinya, ataupun
kerana seorang perempuan yang ia ingin menikahinya maka hijrahnya itu adalah
kepada apa yang ia berhijrah kepadanya." [Bukhari & Muslim]. Maksudnya
: Tiadalah ia mendapat pahala apa pun dari hijrah yang telah ia lakukan itu.
Sebab orang lain berhijrah membawa dirinya dan agamanya agar terselamat dan
fitnah kekufuran yang mengancamnya di negeri Makkah, semata-mata kerana
mentaati perintah Allah dan RasulNya. Akan tetapi maksud utama hijrah Hatib ada
yang lain; iaitu keinginan hati untuk menawan Si gadis kecintaannya, sebab itu
Rasulullah SAW telah mencelanya secara indirect(tidak langsung) dengan
menyabdakan Hadis tersebut di atas tadi.
Bagi kita kaum Muslimin yang mengikuti cerita Hatib tadi,
janganlah dianggap celaan itu hanya ditujukan untuk Hatib seorang saja.
Bukanlah itu yang dimaksudkan. Akan tetapi di sebalik peristiwa Hatib itu ada
pengajaran lain yang harus kita perhatikan, supaya kita tidak menjadi seperti
Hatib pula, sehingga celaan itu akan menimpa kita sama.
Dalam menjalankan perintah-perintah
agama, janganlah hendaknya kita menyaingi ibadat-ibadat kita itu dengan
kerja-kerja lain yang berkaitan dengan keduniaan. Misalnya ibadat Haji. Ada
orang yang menyaingi ibadat Hajinya dengan kerja-kerja keduniaan, seperti
berniaga sewaktu dalam perjalanan ke Haji, atau dalam musim Haji, kerana
keuntungannya berlipat-ganda ketika itu. Ataupun orang itu sengaja menawarkan
dirinya untuk menguruskan hal-ehwal orang-orang Haji tentang
keperluan-keperluannya dalam perjalanan atau sewaktu mengerjakan Haji itu,
sebab seolah-olah dia bekerja dengan bakal-bakal Haji itu, dan mungkin sekali
semua wang pelayarannya pun dikutip dan berasal dari bakal-bakal Haji itu
samada sebagai komisen ataupun faedah pekerjaannya, yang kalau tiada kerana
itu, tiadalah ia akan berangkat sama untuk menunaikan Hajinya. Amalan yang
serupa ini tentu sekali tiada sepenuhnya tertumpu pada pekerjaan ibadat
terhadap Allah. Oleh kerana itu dikuatiri tidak ada gunanya dan tidak ada
pahalanya dari Allah s.w.t.
Lain-lain misalan dalam
perkara yang sama banyak sekali, dan semuanya adalah bergantung kepada niat
masing-masing pelakunya. Maka hendaklah kita sentiasa waspada dalam hal ini,
supaya ibadat-ibadat kita tiada dikongsi dengan amalan-amalan keduniaan, yang
nyata sekali ditegah oleb agama, seperti dalam Hadis Rasulullah s.a.w. tersebut
di atas.
Untuk menentukan samada ibadat
kita itu seratus persen kerana Allah atau tidak, tanyalah diri kita sendiri
secara jujur dan bukan secara helah atau putar-belit, niscaya kita akan
mendapati jawapannya yang betul. Seterusnya, Hadis ini, walaupun ditujukan khas
kepada Hatib kerana niatnya yang telah menyeleweng dari tujuan asalnya, namun
hukumnya umum ditujukan kepada seluruh kaum Muslimin, walaupun sebabnya yang
pertama kerana Si Hatib tadi. Sebab Rasulullah s.a.w. tidak pernah menujukan
sesuatu kecelaan atau kemarahannya terhadap seseorang yang tertentu. Bahkan
pengisytiharannya sentiasa umum untuk menjadi pengajaran kepada kaum Muslimin
yang lain. Selain itu, Rasulullah s.a.w. adalah pemalu orangnya dan tidak
pernah menjatuhkan maruah orang lain, apatah lagi untuk membocorkan rahsia
orang di hadapan khalayak ramai, itu tentulah jauh sekali.